Home

Program Khidmat Masyarakat Ke Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz Dan Lawatan Sambil Belajar Ke Bengkel Labu Sayong, Kuala Kangsar

Program ini telah dijalankan pada 3 Mei 2014 iaitu bersamaan hari Sabtu yang lalu. Seramai 40 orang murid tingkatan dua telah menyertai lawatan ini dan diiringi oleh 3 orang guru Pendidikan Sivik.

     Ia bertujuan untuk melahirkan murid yang berakhlak mulia,bertanggungjawab dan memiliki semangat patriotisme. Oleh itu, lawatan ini dianjurkan bagi memenuhi pembelajaran murid yang mana ilmu boleh diperolehi dari dalam atau di luar bilik darjah. Lawatan ini diharapkan dapat memberi pengalaman baru dan membantu masyarakat di luar yang memerlukan serta dapat menyemai semangat kecintaan terhadap warisan budaya bangsa.

     Rombongan lawatan ini telah bergerak dari SMK Seri Iskandar pada jam 7.30 pagi dan sampai ke destinasi pada pukul 9.15 pagi. Sewaktu rombongan ini sampai, kami disambut oleh salah seorang pegawai. Kami dibawa ke sebuah dewan dimana terdapat beberapa orang pegawai yang bertugas serta kanak-kanak yang menghuni rumah tersebut. 

     

Timbalan Pengetua  mengalu-alukan kehadiran kami dan memberi penerangan berkaitan Rumah Kanak-kanak iaitu objektif dan aktiviti yang dijalankan di rumah berkenaan. Rumah Kanak-kanak tersebut mempunyai bangunan asrama lelaki dan perempuan, surau, dewan, taska, padang permainan serta beberapa bangnan lain.  Kanak-kanak yang menghuni rumah tersebut seramai  lebih kurang 150 orang berumur dari 1 hari hingga 12 tahun. Sebelum ini, rumah tersebut dikenali sebagai Rumah Anak-anak Yatim tetapi telah di tukar kepada Rumah Kanak-kanak. Kanak-kanak yang dihantar ke rumah tersebut disebabkan beberapa faktor iaitu masalah keluarga. Kanak-kanak tersebut diberi pendidikan iaitu dihantar ke sekolah yang berdekatan. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti permainan bola sepak dan lawatan ke tempat-tempat yang menarik.

     Selepas itu, sesi beramah mesra dengan kanak-kanak. Kami rasa gembira dapat berkenalan dengan kanak-kanak tersebut. Kami juga diingatkan agar tidak mengajukan soalan yang mungkin menyinggung perasaan kanak-kanak tersebut. Selepas sesi berkenalan, murid-murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Setiap kumpulan ditugaskan untuk membersihkan kawasan tersebut. Antara kerja-kerja yang telah dilakukan oleh murid-murid ialah mengemop lantai,  mencuci tingkap, memberus longkang, membersihkan kawasan surau, mencuci dewan makan dan mengutip sampah di sekeliling kawasan rumah kanak-kanak tersebut.

    Setelah bergotong-royong, kami di bawa semula ke dewan untuk sesi penutup. Pn. Rohezam bt Selamat selaku ketua rombongan lawatan memberi ucapan serta menyampaikan sumbangan kepada wakil pegawai Rumah Kanak-kanak  berkenaan berupa pakaian dan barang keperluan lain. Lawatan kami di akhiri dengan acara bersalam-salaman. Kanak-kanak tersebut beratur untuk bersalam-salaman dengan murid-murid dan guru-guru. Kami berasa sungguh terharu. 

     Pada jam 1.30 petang, rombongan kami bertolak ke destinasi ke dua iaitu lawatan sambil belajar ke bengkel labu sayong. Sebelum itu, kami singgah di masjid untuk menunaikan solat iaitu Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar yang merupakan masjid terindah di Malaysia dan mempunyai nilai sejarahnya tersendiri. Selepas solat kami teruskan perjalanan kami dan sampai di Bengkel Labu Sayong pada jam 2.30 petang. Rombongan kami disambut oleh pengusaha labu sayong, iaitu Cik Noor Sila. Beliau mengalu-alukan kehadiran kami.

     Beliau memberi penerangan berkaitan proses membuat labu sayong menggunakan teknik acuan. Langkah pertama ialah mencampurkan tanah liat, air dan sodium ke dalam mesin pengisar untuk dihancurkan. Sodium digunakan untuk menguatkan lagi tanah supaya tidak mudah pecah. Selepas itu bancuhan tanah liat dituang ke dalam acuan. Apabila telah kering, labu sayong tadi dikeluarkan daripada acuan dan diletakkan di atas mesin pemutar untuk proses-proses berikutnya iaitu meratakan bahagian permukaan labu sayong, melicinkan, mewarna  dan mengukir labu sayong. Akhir sekali labu sayong yang telah siap dihias, dibakar di dalam alat pembakaran.

       Setelah beliau menerangkan proses membuat labu sayong, murid-murid diberi peluang untuk melakukan aktiviti mengukir corak pada labu sayong.Pelbagai kreativiti telah dihasilkan oleh murid-murid. Kami berasa sungguh gembira melakukan aktiviti tersebut. Pada jam 4.30 petang rombongan kami bertolak pulang. Kenangan bersama-sama mereka amat kami hargai dan tidak mungkin kami lupakan.

 

 

 

 

 

Copyright © 2018 Portal SMK Seri Iskandar. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.
Copyright 2011 Program Khidmat Masyarakat Ke Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz Dan Lawatan Sambil Belajar Ke Bengkel Labu Sayong, Kuala Kangsar. Custom Footer text
Templates Joomla 1.7 by Wordpress themes free