Mutiara Kata

Puan Mashitah binti Ismail,AMN

Pengetua SMK Seri Iskandar

 pengetua

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah  lagi Maha Mengasihani.

Warga sekolah sekalian, selamat kembali menghadapi tugas yang diamanahkan kepada kita bagi sesi persekolahan 2017. Persekolahan 2016 telah melabuhkan tirainya. Terima kasih diucapkan kepada semua guru yang telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang pada tahun 2016. Kecemerlangan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh guru-guru merupakan pemangkin  kepada murid-murid untuk berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai kejayaan cemerlang dalam semua bidang yang mereka ceburi kerana guru adalah idola kepada murid-murid.

Perkembangan dunia pendidikan hari ini selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM), menuntut kita untuk bekerja dengan penuh komited, cekap dan pantas agar kita sebagai kelompok pelaksana seiring dengan dasar tersebut yang telah diwar-warkan kepada umum.Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang telah diamanahkan.

Dalam dasar PPPM  melalui anjakan  ke-9, kita juga turut melaksanakan sarana ibu bapa dan sarana sekolah. Iaitu berusaha memasyarakatkan sekolah supaya peranan para ibu bapa , komuniti dan pihak swasta dapat digembleng bagi memastikan pencapaian murid- murid kita dan sekolah dapat dipertingkatkan dengan lebih baik lagi.Gabungan dan usahasama ini serta dengan usaha bersungguh- sungguh daripada semua warga SMKSI diharap dalam tahun 2017 ini  kita dapat memperbaiki pencapaian sekolah dengan lebih baik lagi.

Pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 mulai 2014, turut menuntut komitmen  guru-guru agar dapat melaksanakan dengan jayanya seperti kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia, di samping  melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) untuk murid-murid tingkatan 1, 2 dan 3. Pihak  sekolah juga sedang berusaha menaik taraf fizikal sekolah agar lebih kondusif untuk pembelajaran.Semua ini memerlukan penyertaan semua guru kerana melalui usaha gigih  kita setiap amanah dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

Jatuh bangunnya sesebuah organisasi bergantung penuh kepada peranan dan kerja kuat para ahli yang ada di dalamnya. Kita semua umpama berada dalam sebuah perahu yang sedang menyertai perlumbaan , setiap orang  diberi alat pendayung untuk  berdayung dengan pantas bersama- sama rakan-rakan lain agar boleh sampai ke garisan penamat dengan cepat supaya boleh menang.

Jika ada di antara ahli dalam perahu tersebut yang tidak memberikan kerjasama dan tidak berusaha bersungguh- sungguh untuk berdayung, ia akan menjejaskan tahap kelajuan perahu berkenaan serta berisiko untuk gagal. Ia samalah seperti kita di sekolah, setiap orang guru dan staf perlu bekerja dengan tekun dan memainkan peranan agar semua bidang boleh cemerlang seterusnya mampu menghasilkan SMKSI sesuai dengan motto sekolah Bestari,Cemerlang dan Gemilang. Kita tidak perlu mana-mana kategori sebagai ‘penumpang’ semata-mata.

Akhirul kalam saya sangat berharap agar warga guru  SMKSI dapat melaksanakan tugas-tugas kita yang penuh mencabar dan berkat ini dengan rasa penuh tanggung jawab, berintegriti dan dengan niat Lillahi taala. Marilah kita bersama- sama berazam untuk bekerja dengan lebih baik lagi bagi tahun 2017.

Sekian, terima kasih.

 

 

 

 

 

 

Copyright © 2017 Portal SMK Seri Iskandar. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.
Copyright 2011 Mutiara Kata. Custom Footer text
Templates Joomla 1.7 by Wordpress themes free